PERSATUAN
ANAK MELAYU JOHOR
WILAYAH PERSEKUTUAN
& SELANGOR
(PAMJ)
TUJUAN & MATLAMAT
Tujuan, matlamat dan kegiatan PAMJ sepertimana dinyatakan didalam Perlembagaan Pertubuhan seperti berikut :
- Persatuan atau pertubuhan ini diwujudkan bagi memupuk semangat ukhwah, persaudaraan dan muhibah dalam kalangan ahli khasnya dan masyarakat umum amnya.
- Mengwujudkan perhubungan dengan pihak istana dan Pentadbiran negeri Johor, Pentadbiran negara dan badan-badan sukarela yang lain.
- Meningkatkan kefahaman agama untuk membawa kepada kemajuan rohani dan kebendaan yang seiring dan seimbang dengan kebenaran daripada pihak berkuasa tertentu terlebih dahulu.
- Menggalak dan membantu ahli yang cenderung dan berpotensi dalam pelbagai seperti bidang ekonomi dan keusahawanan untuk mereka mencapai kejayaan yang cemerlang.
- Membantu ahli dalam hal kebajikan.
- Memperkenalkan dan mengembangkan budaya bangsa.
- Memberi sumbangan dalam penyempurnakan aspirasi negara dalam bidang ekonomi , pendidikan, agama, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan.
- Menjalankan aktiviti-aktiviti yang menjurus ke arah kebajikan masyarakat sesuai dengan slogan masyarakat penyayang yang subur dengan nilai-nilai patriotisme, setiakawan, muhibah serta permuafakatan sebagai wadah perjuangan.
- Persatuan ini tidak sama sekali akan mencampuri perkara POLITIK.
Usaha dan Kegiatan:
- Mengadakan perjumpaan sosial, menganjurkan kursus, seminar, bengkel kerja, simposium, konvensyen dan lain-lain untuk ahli- ahli sebagai cara mendapatkan pandangan yang membina untuk faedah dan kemajuan persatuan serta ahli-ahli khasnya dan masyarakat umum amnya.
- Melaksanakan aktiviti-aktiviti kerohanian , contohnya dengan mengadakan majlis-majlis keagamaan, ceramah dan tazkirah, kelas agama, membudayakan pembacaan al-Quran dan sebagainya.
- Merancang dan menyertai kegiatan ekonomi yang akan dapat memberi faedah dan keuntungan kepada Persatuan berlandaskan undang-undang dan Rukun Negara.
- Mengumpul dana bagi faedah Persatuan, memiliki harta dan boleh menjual harta- harta tersebut dengan syarat mendapat persetujuan Jawatankuasa Pentadbir. Semua wang dan keuntungannya yang didapati oleh Persatuan hasil daripada projek dan program yang dilaksanakan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan tujuan-tujuan Persatuan ini. Tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah atau bonus kepada mana-mana ahli Persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, seperti untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada mana-mana ahli atau pekerja persatuan ini.
- Mengadakan khidmat perunding, nasihat penyelidikan dan sebahagiannya, apabila diperlukan.
- Menganjurkan kutipan derma sama ada untuk amal kebajikan ataupun untuk faedah persatuan dengan yang cara tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
- Mengedarkan maklumat dan penerangan tentang kegiatan persatuan dan maklumat-maklumat lain yang berfaedah kepada ahli dari semasa ke semasa .
- Menyemai serta memupuk perasaan cinta dan minat terhadap nilai-nilai seni dan budaya.
- Memberi bantuan, seberapa yang boleh, khasnya kepada ahli-ahli atau keluarga mereka dan masyarakat umum amnya bagi kemajuan dalam bidang pendidikan, sukan dan lain-lain.